Sabtu, 5 Oktober 2013

Pembangunan Lestari Di Malaysia


Apakah itu Pembangunan Lestari?

Dari sudut bahasanya, Lestari bermaksud kekal atau tidak berubah-ubah. Mampan pula bermaksud sesuatu yang mampu mengekalkan pencapaian atau prestasi yang baik. Maka Pembangunan Lestari atau Mampan adalah sesebuah pembangunan yang kekal pencapaiannya mengikut apa yang telah dirancangkan. Pencapaian atau prestasi yang dimaksudkan adalah dari segi prestasi pembangunan itu sendiri dan juga prestasi pengguna pembangunan tersebut.

Dari segi praktisnya pula, pembangunan lestari ditakrifkan sebagai sebuah pembangunan yang dijalankan secara terancang supaya tidak menjejaskan keadaan semulajadi, menambah keselesaan sosial dan meningkatkan taraf ekonomi di situ bukan sahaja untuk generasi semasa malah untuk generasi akan datang. Iaitu Pembangunan yang kekal. Maka, oleh kerana ini, nama Pembangunan Lestari itu telah dipilih untuk digunakan.


Definasi Oleh Brundtland Report, 1987
Pembangunan lestari ialah pembangunan yang dapat memenuhi keperluan pada masa sekarang tanpa menjejaskan keupayaan memenuhi keperluan pada masa hadapan.

Definasi Oleh The World Commission Environment and Development, WCED, 1987
 

Pembangunan lestari ialah pembangunan yang memenuhi keperluan generasi masa kini tanpa mengabaikan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka.



Pembangunan mampan / lestari “...mengimbangi pembangunan ekonomi dengan keperluan sosial dan alam sekitar...”

Pelbagai usaha telah dijalankan bagi memastikan kelestarian alam sekitar menjadi suatu perkara yang menjadi perkara yang dititikberatkan oleh seluruh umat manusia. Usaha-usaha ini meliputi pelbagai peringkat baik dari peringkat tempatan, mahupun antarabangsa. Antara usaha yang telah dilakukan oleh pihak antarabangsa adalah melalui Deklarasi Langkawi (1989), Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro (1992), dan Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2009 di Copenhagen.

Deklarasi Langkawi
 

Pada bulan Oktober 1989, Deklarasi Langkawi telah berjaya dikeluarkan. Ia adalah bersempena Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Negara Komanwel. Hasil deklarasi itu ialah mengakui bahawa pencemaran dan pemusnahan alam sekitar telah bermula sejak zaman penjajah lagi. Sejarawan J.S. Furnivall melaporkan bahawa zaman kolonial telah menyebabkan kemerosotan alam sekitar yang hebat. Negara penjajahan mahukan keuntungan lumayan dari pelaburan modal barat. Keuntungan dari pelaburan itu adalah semata-mata bagi kepentingan negara mereka – England
 

Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro (1992)

Semasa Sidang Kemuncak Bumi ini diadakan, banyak usaha telah diambil bagi menunjukkan betapa tingginya kesedaran sesetengah pihak dalam memandang isu alam sekitar yang semakin hari semakin tenat disebabkan pencemaran dari pelbagai sudut seperti tanah, air dan udara. Antara usaha yang dapat dilihat semasa sidang ini berlangsung adalah melalui Agenda 21 dan Protokol Kyoto.
 

Apa itu Agenda 21?

Agenda 21 merupakan perjanjian atau panduan yang dibentuk oleh Persidangan Alam Sekitar dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Conference on Environment and Development, UNCED) sewaktu sesi persidangannya di Rio de Janeiro (Sidang Kemuncak Bumi) pada 1992. Agenda ini menggariskan beberapa perkara yang harus dilaksanakan oleh negara-negara anggota PBB (yang menerima pakai Agenda ini) seterusnya mengadakan laporan khusus (tahunan) tentang perjalanannya di peringkat negara, dan kemudian diserahkan kepada Majlis Pembangunan Lestari (CSD). Laporan tersebut antaranya mengandungi kegiatan yang dilakukan yang memenuhi hasrat Agenda 21, halangan dan cabaran yang dihadapi, serta isu-isu alam sekitar dan pembangunan yang berkaitan.
 

Latar belakang Agenda 21 :
(1). Agenda 21 menekankan alam sekitar dan pembangunan yang seimbang dan lestari;
(2). Merupakan program tindakan pembangunan mampan global dan angka “ 21 “ menandakan abad ke-21;
(3). Ditandatangani oleh lebih 178 wakil kerajaan termasuk Malaysia;dan Agenda 21 mengandungi 40 bab yang kesemuanya berhubung dengan pembangunan lestari; dan bab 28 Agenda 21 bertajuk ”Usaha Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Dalam Menyokong Agenda 21 ”
 


Apa Itu Protokol Kyoto?
 

Menurut kenyataan media Program Alam Sekitar PBB: Protokol Kyoto merupakan persetujuan sah oleh negara-negara perindustrian bahawa mereka akan mengurangkan pembebasan gas rumah hijau mereka secara kolektif sebesar 5.2% berbanding tahun 1990.
 

Enam gas rumah hijau itu ialah :
1). karbon dioksida
2). metana
3). nitrus oksida
4). sulfur heksafluorida
5). kloroflurokarbon(CFC)
6). perfluorokarbon(PFC).
 

Manakala tahap pengurangan pembebasan gas rumah hijau mengikut zon adalah:
1). 8% untuk Eropah,
2). 7% untuk Amerika Syarikat,
3). 6% untuk Jepun,
4). 0% untuk Rusia,


Dan penambahan yang diizinkan adalah :
1). 8% untuk Australia
2). 10% untuk Britain


Protokol Kyoto ialah protokol kepada Persidangan Rangka Kerja PBB tentang Perubahan Iklim (United Nations Framework Convention on Climate Change, UNFCCC), yang ditubuhkan semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada tahun 1992. Hanya pihak yang bersekutu dalam UNFCCC berpeluang menandatangani atau mengesahkan Protokol Kyoto.

Sebahagian besar ketetapan Protokol Kyoto terlebih dahulu dikuatkuasakan oleh negara-negara maju yang disenaraikan oleh UNFCCC (kerana negara-negara maju yang paling banyak membebaskan gas-gas rumah kaca).


Kesan Rumah Hijau (Green House Effect)



Komitmen Kerajaan Malaysia

Strategi ke arah mencapai komitmen yang telah diberikan. Antaranya ialah:
 

(1). Rancangan Malaysia - Semenjak Rancangan Malaysia ke-8 lagi, isu kelestarian telah di kenalpasti dan di ambilkira di dalam perancangan pembangunan Negara.
 

(2). Persidangan Kemuncak Dunia - Selain dari itu, pihak kerajaan juga sentiasa peka dan mengambil perhatian mengenai kelestarian dan sentiasa mengambil Bahagian di dalam persidangan peringkat dunia yang melibatkan persetujuan dan komitmen Negara-negara yang terlibat. Perdana Menteri Malaysia, telah mengumumkan komitmen Malaysia dalam Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Disember 2009 (COP 15) di Copenhagen, bahawa negara akan mengurangkan pelepasan karbon atau gas rumah hijau sehingga 40% daripada kadar pelepasan 2005 menjelang tahun 2020.
 

(3). Majlis Teknologi Hijau - Pada Julai 2009, Kerajaan telah menubuhkan Majlis Teknologi Hijau (MTH) yang berperanan sebagai badan penyelaras peringkat tertinggi di kalangan kementerian, agensi, sektor swasta dan pihak berkepentingan utama bagi memastikan Dasar Teknologi Hijau Negara dilaksanakan secara efektif. Ia dipengerusikan sendiri oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia. Kemudian, nama majlis ini telah di tambahbaik kepada Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim (MTHPI).

(4). Dasar Teknologi Hijau - Dasar ini berhubung rapat dengan prinsip pembangunan lestari di mana pembangunan hendaklah “Memenuhi keperluan masyarakat masa kini tanpa mengabaikan keperluan generasi akan datang”. Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) akan menyelaras dan memastikan kelancaran pelaksanaan dasar ini.
 

Dasar ini adalah berdasarkan empat tonggak iaitu :
1). Tenaga - Mencari kaedah untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan pada masa yang sama mempromosikan kecekapan guna tenaga.
2). Alam sekitar - Memulihara dan meminimumkan kesan kepada alam sekitar.
3). Ekonomi - Meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi hijau.
4). Sosial - Meningkatkan kualiti hidup rakyat.
 

Lima langkah strategik bagi menjayakan Dasar Teknologi Hijau negara ini :
1). Langkah pertama - Dasar itu adalah untuk mengukuhkan rangka kerja institusi, khususnya membabitkan peringkat menteri
2). Langkah kedua - Adalah untuk menyediakan persekitaran yang kondusif bagi pembangunan teknologi hijau.
3). Langkah ketiga - Adalah untuk menggiatkan pembangunan modal insan menerusi pemberian latihan dan program pendidikan yang termasuk menyediakan pakej kewangan serta insentif kepada pelajar untuk mengambil subjek yang mempunyai kaitan dengan teknologi hijau.

4). Langkah keempat - Adalah bagi menggalakkan penyelidikan dan inovasi teknologi hijau menerusi pengkomersialan
5). Langkah kelima - Adalah meneruskan usaha mempromosi dan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap teknologi hijau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan